Program Jualan Terus Dari Ladang beri manfaat kepada petani, pembeli

Program Jualan Terus Dari Ladang beri manfaat kepada petani, pembeli

Kota Kinabalu: Selain bertujuan untuk memperkasa petani tempatan, penganjuran Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) turut memberi manfaat kepada para pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, ia merupakan antara platform terbaik untuk petani memasarkan hasil mereka secara terus kepada pembeli.

“Program ini mempunyai dua matlamat utama, iaitu memberikan platform kepada peladang-peladang agar mereka boleh terus menjual hasil mereka kepada pengguna.

Foong Hin bersama Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid, pada program JTDL di Pasar Tani Asia City, Kota Kinabalu

“Matlamat kedua adalah memberikan keadaaan di mana harga yang ditetapkan juga berpatutan kepada pengguna untuk meringankan beban rakyat.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa ini merupakan sebuah program yang baik dan positif,” katanya ketika ditemui selepas meninjau ke Pasar Tani Asia City sempena program JTDL, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam tinjauan itu ialah Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, Ribin Wahid.

Tambah Foong Hin, beliau berharap agar program itu akan diteruskan pada masa akan datang, sama ada di peringkat negeri dan persekutuan.

“Saya berharap agar program ini sentiasa dilaksanakan bukan sahaja di Asia City tetapi di seluruh Sabah dan Malaysia.

“Untuk di Sabah, Ribin seorang pengarah yang baik dan rajin, beliau akan memastikan ia dilaksanakan dengan efektif,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan pembinaan atap oleh peniaga di pasar itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, ia akan dipertimbangkan sewajarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dapat dicapai.

“Saya rasa permintaan ini ada logiknya, namun banyak faktor yang kita harus pertimbangkan memandangkan tapak ini dibawah pemilikan Asia City.

“Selain daripada itu, faktor kos juga perlu dipertimbangkan. Saya berpendapat kita perlu kaji dengan teliti dan adakan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|