KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan pendirian agar bayaran bagi komponen hasil yang tidak dipertikaikan dilaksanakan terlebih dahulu sebagai bayaran interim dalam rundingan tuntutan hasil negeri.
Pembantu Menteri Kewangan, Ben Chong Chen Bin berkata, perkara itu telah dinyatakan secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan menerusi surat bertarikh 18 Mac 2026.
Katanya, bagi komponen hasil yang tidak dipertikaikan, pembayaran perlu dibuat segera, manakala jumlah yang masih dipertikaikan akan dimuktamadkan dan diselaraskan kemudian.
“Jumlah amaun bagi komponen hasil yang tiada pertikaian dibayar dahulu sebagai bayaran interim, manakala bagi komponen yang masih dipertikaikan akan dimuktamadkan dan diselaraskan kemudian,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sekong berhubung jumlah kutipan hasil Kerajaan Persekutuan di Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2024 di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Dalam masa sama, beliau berkata amaun interim pemberian khas sebanyak RM600 juta bagi tahun 2026 perlu disemak semula dan diselaraskan mengikut formula 40 peratus seperti termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“Amaun interim pemberian khas berjumlah RM600 juta bagi tahun 2026 hendaklah disemak dan diselaraskan dengan formula 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Ben Chong Chen Bin turut memaklumkan kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 April 2026 yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Persekutuan sementara menunggu proses rayuan.
