KOTA KINABALU: Sabah memperkukuh usaha menangani perubahan iklim melalui pelaksanaan dasar lebih menyeluruh termasuk merangka undang-undang baharu berkaitan iklim negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Ceaser Mandela Malakun berkata, langkah itu diperkukuh hasil dua kajian rintis utama iaitu penilaian risiko perubahan iklim dan Inventori Gas Rumah Hijau Sabah 2024.
Katanya, dapatan kajian tersebut memberi gambaran jelas mengenai pelepasan karbon merentasi sektor ekonomi serta mengesahkan kedudukan Sabah dalam agenda perubahan iklim.
“Berdasarkan dua kajian rintis ini memberi pemahaman kepada kerajaan negeri mengenai tahap pelepasan merentasi sektor ekonomi dan mengesahkan status net sync Sabah.
“Merujuk hasil dapatan ini, jawatankuasa kerja ditubuhkan untuk merangka undang-undang perubahan iklim negeri,” katanya ketika ketika menjawab soalan ADUN Sook berhubung pelaksanaan SCCAC sejak 2024.
Dalam pada itu, Majlis Tindakan Iklim Sabah (SCCAC) berperanan menyelaras hala tuju dan pelaksanaan inisiatif iklim negeri termasuk mitigasi, adaptasi serta pembangunan rendah karbon.
“SCCAC bertindak sebagai focal point kerajaan negeri dalam menyelaras agenda perubahan iklim serta menggalakkan penglibatan pelbagai pihak dan memudah cara pelaksanaan dasar berkaitan,” ujarnya lagi.
