KOTA BELUD: Lebih kurang 600 penduduk sekitar Kota Belud menerima manfaat daripada Program Mahkamah Bergerak Fasa 4 Kota Belud yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) N9 Tempasuk pada Sabtu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N9 Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari angka tersebut menandakan signifikan program berkenaan terhadap penduduk kampung yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri disebabkan oleh jarak dan kekangan kewangan untuk mendapatkan akses perkhidmatan agensi-agensi kerajaan.
”Saya percaya masih ramai penduduk di Sabah khususnya di kawasan luar bandar seperti Kota Belud mengalami masalah dokumen pengenalan diri yang menghalang kepada akses pendidikan, kesihatan, dan bantuan daripada kerajaan.
”Setiap rakyat berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan dan sistem keadilan tanpa halangan, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
”Angka yang hadir pada hari ini menandakan signifikan program ini terhadap penduduk Kota Belud”, ujar beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, Arsad turut menjelaskan kebanyakan penduduk yang hadir berhadapan dengan masalah kelewatan mendaftar kelahiran disebabkan oleh perkahwinan yang tidak teratur atau tidak didaftarkan secara sah, kekangan logistik dan akses ke hospital bagi kelahiran di rumah, serta kurang kesedaran mengenai undang-undang pengenalan diri sebelum ini.
”Antara masalah yang pihak kami perhatikan membabitkan isu ini umpamanya kesukaran penduduk ke hospital untuk mendapatkan dokumen pengesahan kelahiran awal, terutamanya bagi kes melahirkan anak di rumah, dianggarkan 10 hingga 20 peratus.
”Terdapat juga masalah membabitkan perkahwinan yang tidak teratur atau tidak didaftarkan secara sah sama ada melalui jabatan agama bagi penganut Islam, atau tanpa pengesahan adat yang lengkap bagi bukan Islam, termasuk isu perkahwinan campur, contohnya antara warga China dengan penduduk tempatan.
”Ada juga kes penduduk tempatan yang sudah mencecah usia 19 hingga 20 tahun tetapi masih belum memiliki dokumen pengenalan diri yang sah kerana kurang kesedaran mengenai undang-undang pengenalan diri sebelum ini”, Arsad menambah.
Dalam pada itu, Arsad turut menzahirkan harapan agar Mahkamah Syariah turut serta di dalam program berkenaan pada masa depan bagi menyelesaikan isu perkahwinan yang tidak berdaftar sehingga menjejaskan peluang kanak-kanak Islam yang lahir mendapatkan dokumen kelahiran.
”Dalam konteks umat Islam, peranan Mahkamah Syariah amat penting kerana sering kali perkahwinan yang tidak teratur ataupun tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menjejaskan peluang kanak-kanak Islam mendapatkan sijil kelahiran”, ujar Arsad.
Terdahulu, satu Program Mahkamah Bergerak Fasa 4 Kota Belud telah diadakan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Tempasuk pada Sabtu.
Program membabitkan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mahkamah Anak Negeri, JHEAINS, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Jabatan Kesihatan Kota Belud, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut menyediakan perkhidmatan endosmen sijil lahir daftar lewat, urusan Surat Akuan dan Pesuruhjaya Sumpah, serta nasihat perundangan.
