SEMPORNA: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 dengan kedalaman 50 km telah dikesanbberlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi, 8 Jun 2026. Gempa bumibtersebut berpusat pada latitud 5.7° Utara dan longitud 125.1° Timur.Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna, Sabah.
Berdasarkan analisis MET Malaysia, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengahari, 8 Jun 2026.
Siren nasihat tsunami telah dibunyikan di empat lokasi iaitu Tawau, Semporna,Kunak dan Lahad Datu sebagai langkah kesiapsiagaan dan amaran awalkepada penduduk di kawasan terlibat.
Mengambil kira situasi semasa, saya ingin memberikan penekanan serius kepada seluruh masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pantai sekitar Tawau, Semporna, Kunak, dan Lahad Datu agar kekal tenang dan jangan panik.
Pihak kerajaan melalui MET Malaysia dan agensi keselamatan sedang memantau situasi ini secara rapi dari semasa ke semasa.
Saya menggesa semua penduduk di kawasan terlibat untuk memberikan kerjasama penuh dan mematuhi serta-merta segala arahan evakuasi atau keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Pada masa yang sama, sila elakkan daripada mendekati kawasan pantai dalam tempoh masa yang dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga.
MET Malaysia akan terus memantau dengan teliti sebarang perkembangan berhubung aktiviti gempa susulan serta risiko tsunami, dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Orang awam diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui saluran rasmi iaitu di laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia, atau menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Sama-sama kita doakan agar keselamatan seluruh penduduk di kawasan terlibat sentiasa terpelihara
