KOTA KINABALU: Keadaan struktur bangunan Flat Pasir Putih, Putatan yang semakin uzur mendapat perhatian tuntas daripada pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat supaya dapat diselesaikan oleh pihak berkaitan.
Wakil rakyatnya, Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, pihaknya sehubungan itu menggesa Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) khususnya mengambil tindakan lanjut dan wajar.
“Saya ingin membawa suara kegelisahan penduduk mengenai isu penyelenggaraan rumah flat kos rendah yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), sebuah agensi di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), sebagai contoh Flat Pasir Putih, Putatan.
“Keadaan infrastruktur bangunan ini semakin hari semakin membimbangkan.
“Ia menunjukkan tanda-tanda kerosakan yang jelas, terutamanya keretakan bangunan di pelbagai sudut flat tersebut yang mengancam keselamatan nyawa penduduk, “katanya.
SAY berkata demikian dalam sesi perbahasannya di sidang DUN Sabah bersempena Perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan bagi Mesyuarat Pertama Penggal ke-dua DUN Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, pada Selasa.
Sementara itu, dalam perbahasan yang sama, mengangkat isu keselamatan melibatkan laluan kereta api yang turut merangkumi kawasan Putatan supaya ia dapat mengelak daripada kemalangan jiwa terus berlaku di masa hadapan.
“Saya amat menyambut baik usaha Kerajaan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) sistem kereta api moden dari Putatan ke KKIP dan Pelabuhan Sepanggar bagi mengukuhkan sistem logistik negeri. Ini adalah satu langkah proaktif yang amat tepat.
“Namun, Datuk Speaker, keselamatan rakyat adalah keutamaan paling tinggi.
“Saya mengharapkan agar Kementerian Perindustiran, Keusahawanan dan Pengangkutan turut menjalankan satu kajian komprehensif terhadap perkhidmatan kereta api sedia ada yang kerap kali terlibat dalam insiden kemalangan, malah sehingga menyebabkan kemalangan jiwa yang tragis, “jelas beliau dalam sesi perbahasan terbabit.
Tambah SAY, rakyat pada masa sama menuntut agar perkhidmatan kereta api sedia ada ini dinaiktaraf secara tuntas dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih mantap dan teknologi terkini demi menjamin keselamatan nyawa pengguna dan orang awam.
