TAWAU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.5 juta bagi pembinaan pos kawalan sempadan di Pulau Sebatik bagi memperkukuh kawalan keluar masuk negara serta membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia Indonesia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud berkata, projek itu kini berada pada peringkat perancangan dengan proses pengesahan tapak sedang dilaksanakan oleh agensi berkaitan.
Menurutnya, pembinaan pos kawalan berkenaan penting memandangkan Pulau Sebatik merupakan kawasan strategik yang memerlukan pemantauan lebih ketat, khususnya membabitkan pergerakan rentas sempadan.
Beliau berkata, hasil tinjauan mendapati pihak Indonesia sudah lama mempunyai pos kawalan di kawasan berkenaan, manakala Malaysia masih belum memiliki kemudahan seumpamanya di titik sempadan tersebut.
“Ini penting sebab hasil lawatan ini kita lihat, di pihak Indonesia sudah ada pos kawalan tetapi di Malaysia sendiri belum. Jadi saya fikir kita perlu laksanakan untuk mengawal dari segi imigresen keluar masuk ke negara kita.
“Kedua, bagaimana kita mengurangkan penyeludupan yang saya fikir agak kritikal juga di sempadan ini. Jadi ini yang perlu kita usahakan supaya pos kawalan dan juga projek berkaitan dapat dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan kerja ke projek sempadan di Pulau Sebatik, pada Selasa.
Mustapha berkata, projek bernilai RM7.5 juta itu dijangka siap dalam tempoh kira kira dua tahun sekiranya semua proses berjalan mengikut perancangan, termasuk pengesahan tapak oleh agensi berkaitan.
