Kota Kinabalu: Susulan bencana banjir yang melanda di beberapa daerah di Sabah, seramai 166 mangsa dilaporkan terjejas setakat jam 8 pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, jumlah itu membabitkan sebanyak 41 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada daerah Pitas dan Paitan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 91 mangsa adalah golongan dewasa dan warga emas, manakala 75 mangsa adalah golongan kanak-kanak.
“Sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan untuk menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas ini.
“Di Pitas, terdapat tiga PPS yang beroperasi, iaitu Rumah Ketua Kampung Sinasak Batu (18 mangsa), Surau Kg Sibuang (38 mangsa) dan Dewan Kg Kusilad (23 mangsa).
“Manakala di dua PPS dibuka di Paitan, iaitu Dewan Kg. Kubambangan (38 mangsa) dan Dewan Kg. Batangon Darat (49 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, trend semasa situasi banjir di negeri ini menunjukkan peningkatan dengan pertambahan jumlah mangsa dipindahkan ke PPS.
-Deasoka