Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Sabah terus mengambil langkah proaktif bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup serta kesan kenaikan harga minyak global.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara langkah utama adalah dengan mengekalkan subsidi diesel di Sabah bagi mengawal kos pengangkutan sekali gus mengelakkan beban kenaikan kos dipindahkan kepada pengguna.
Katanya, langkah itu amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan tempatan yang sensitif terhadap perubahan kos input selain menjamin keterjaminan bekalan bahan api negara dalam situasi ketidaktentuan global.
“Kerajaan negeri juga konsisten menyuarakan kepentingan mengekalkan subsidi diesel di Sabah sebagai langkah kritikal untuk mengawal kos pengangkutan dan mengelakkan pemindahan beban kenaikan kos kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berhubung langkah segera kerajaan negeri dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri turut menyalurkan pelbagai bantuan kewangan secara berterusan dan bersasar bagi membantu rakyat.
Katanya, antara inisiatif utama ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang menyediakan bantuan bulanan selama 12 bulan kepada 100,000 penerima dan dijangka meningkat kepada 140,000 penerima.
“Program ini membabitkan peruntukan lebih RM339.6 juta dan dilaksanakan selari dengan bantuan di peringkat Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah,” katanya.
Menurutnya, langkah berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam menangani cabaran ekonomi semasa serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.
