KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dikawal oleh pihak tertentu disifatkan sebagai tidak berasas dan cetek, kata aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, tuduhan yang dimainkan oleh sebuah platform media pro-pembangkang itu jelas menunjukkan kegagalan memahami struktur sebenar pentadbiran negeri Sabah.
Menurutnya, pelantikan barisan menteri, pembantu menteri serta pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh Hajiji dibuat berdasarkan merit dan pengalaman, bukannya dipengaruhi mana-mana individu.
“Apa yang dilakukan adalah memastikan individu berpengalaman seperti Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif dan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam terus menyumbang kepakaran mereka dalam pentadbiran negeri.
“Adalah satu kerugian besar jika pengalaman luas mereka tidak dimanfaatkan hanya semata-mata untuk memenuhi persepsi kononnya mahu kelihatan ‘bebas’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah berkata, sebagai nakhoda pentadbiran negeri, Hajiji memerlukan pasukan yang kukuh dan berpengalaman bagi menjayakan agenda pembangunan menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Katanya, usaha mencapai matlamat itu tidak boleh digalas oleh individu yang tidak berpengalaman kerana ia membabitkan perancangan besar untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut membidas pihak pembangkang yang didakwa sering memainkan isu bagi meraih publisiti murahan, termasuk membangkitkan semula dakwaan nepotisme tanpa asas terhadap kerajaan semasa.
Sebaliknya, Aksyah mendakwa amalan pelantikan bersifat kroni dan nepotisme lebih ketara berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, termasuk dalam beberapa jawatan strategik di peringkat negeri.
“Rakyat masih ingat bagaimana pelantikan dibuat sehingga menimbulkan persoalan, termasuk jawatan penting dalam pihak berkuasa tempatan dan jabatan teknikal negeri.
“Berbeza dengan pentadbiran hari ini, segala perancangan, bajet dan pelaksanaan di bawah Sabah Maju Jaya adalah ilham sendiri Hajiji sebagai pemimpin berwawasan,” katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan termasuk konsep Ekonomi Biru yang dilihat sebagai pendekatan segar dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Aksyah turut menegaskan bahawa kejayaan pentadbiran GRS hari ini dapat dilihat melalui peningkatan hasil negeri, rizab kewangan yang kukuh serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan untuk rakyat.
Katanya, program seperti Rumah Sejahtera SMJ dan bantuan bulanan SYUKUR menjadi bukti jelas bahawa kerajaan negeri memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.
“Hajiji tidak perlu menonjolkan kerja melalui publisiti berlebihan. Beliau bekerja secara senyap, namun hasilnya dapat dirasai rakyat.
“Sabah kini berada di landasan yang betul untuk terus maju,” katanya.
