TAWAU: Detik cemas selama tujuh jam berakhir apabila seorang lelaki tempatan berjaya ditahan polis selepas bertindak agresif dengan mengurung isterinya bersama tiga anak serta mengeluarkan ugutan dalam kejadian di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Kalabakan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak polis menerima maklumat kira kira jam 8.30 malam selepas suspek bertindak di luar kawalan di kediamannya.
“Suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah, mengunci isteri dan tiga anaknya di dalam rumah serta mengugut sesiapa yang cuba masuk. Suspek turut membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan,” katanya.
Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, DSP Zulham Affendi Zulkifli bersama anggota dari Balai Polis Kalabakan digerakkan ke lokasi kejadian.
Pemeriksaan mendapati keadaan rumah dalam gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya termasuk parang, sabit serta paip besi.
“Polis mengambil masa kira kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang agresif sebelum bertindak menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa. Dalam operasi itu, pasukan polis menggunakan Taser Gun bagi melumpuhkan suspek sebelum berjaya ditahan,” jelasnya.
Suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira kira jam 10.30 pagi keesokan hari.
Polis turut merampas dua bilah sabit, sebilah parang, pemutar skru, besi ‘loading’ serta empat batang paip besi.
Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan situasi ancaman atau keganasan rumah tangga bagi membolehkan tindakan segera diambil.
