TUARAN: Lima individu cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan berhampiran Kampung Berungis awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.44 pagi itu, kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo yang dipercayai membawa suspek kes kecurian kabel dilaporkan sedang dikejar pihak polis sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah Isuzu Invader.
Menurut maklumat daripada pihak bomba, kemalangan tersebut melibatkan lima mangsa, iaitu empat individu dari kenderaan Toyota Hilux Vigo dan seorang lelaki berusia 61 tahun dari kenderaan Isuzu Invader. Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 5.01 pagi.
Komander Operasi, PBK II Easter Hassan berkata, pihaknya menjalankan penilaian awal di lokasi kejadian dan mendapati terdapat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Pasukan Keluaran Operasi kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang berjaya dikeluarkan diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.34 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan lokasi dan kenderaan adalah selamat.
Turut terlibat dalam operasi adalah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
