NUNUKAN: Tindakan berani 12 warga Malaysia yang memasuki Indonesia melalui laluan tidak sah semata-mata untuk menyertai acara Fun Run 5K di Sebatik berakhir dengan penahanan oleh pihak Imigrasi Nunukan.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi berasingan, melibatkan serbuan di sebuah hotel serta lokasi acara ketika sedang bersiap untuk menyertai larian tersebut.
Ketua Seksi Intelijen dan Penindakan Keimigrasian (Inteldakim) Kantor Imigrasi Nunukan, Fredy, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa kumpulan berkenaan terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita.
Menurut beliau, seramai 10 individu ditahan di Hotel City pada malam Sabtu, manakala dua lagi ditahan di lokasi acara.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati lima daripada mereka memiliki pasport, namun selebihnya tidak membawa dokumen perjalanan sah,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, walaupun sebahagian memiliki pasport, kesemua mereka tetap melakukan kesalahan kerana memasuki wilayah Indonesia tanpa melalui Tempat Pemeriksaan Imigrasi (TPI) yang sah.
Siasatan awal mendapati mereka merupakan komuniti peminat sukan larian yang tertarik untuk menyertai Fun Run 5K Sebatik selepas melihat promosi di media sosial.
“Mereka mengaku memilih laluan tidak sah bagi menjimatkan masa dan tenaga supaya dapat berehat sebelum acara berlangsung,” jelasnya.
Menurut Fredy, sekiranya menggunakan laluan rasmi, peserta perlu melalui perjalanan dari Tawau ke Nunukan sebelum meneruskan perjalanan ke Sebatik menggunakan bot laju, yang dianggap lebih memakan masa.
“Apapun alasan, kemasukan secara tidak sah tetap melanggar undang-undang. Kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut,” tegasnya.
Kesemua individu terbabit kini ditempatkan di ruang detensi Imigrasi Nunukan dengan pengasingan antara lelaki dan wanita. Pihak Imigrasi turut akan berkoordinasi dengan perwakilan Malaysia di Pontianak bagi proses pengesahan kewarganegaraan serta pengeluaran dokumen perjalanan sementara.
Bagi mereka yang memiliki pasport, tindakan deportasi akan dilakukan segera, manakala yang tidak mempunyai dokumen akan melalui proses verifikasi terlebih dahulu sebelum dihantar pulang.
Sementara itu, Koordinator Fun Run 5K Sebatik 2026, Kahar, menegaskan pihak penganjur telah lebih awal memberi peringatan kepada peserta luar negara agar memasuki Indonesia melalui laluan rasmi.
“Kami sudah maklumkan bahawa semua peserta antarabangsa perlu mematuhi peraturan imigresen. Ini adalah acara sukan dan mesti ikut undang-undang,” katanya.
