14 jam bertarung nyawa untuk selamatkan diri

14 jam bertarung nyawa untuk selamatkan diri

Kota Kinabalu: Lebih 14 jam bertarung nyawa berenang mengharungi ombak kuat untuk menyelamatkan diri selepas terjatuh di perairan Mengalum.

Itu pengalaman paling sukar dilupakan Al Sipal Abdullah, 30, yang terpaksa berenang bersendirian sebelum berjaya menghampiri sebuah kapal pelantar di perairan Pulau Sepanggar, di sini, semalam.

Al Sipal ketika berada di atas bot pamnya sebelum kejadian berkenaan

Menceritakan semula pengalaman ngeri itu, Al Sipal berkata, seperti kebiasaannya, dia bersama dua lagi rakannya turun ke laut untuk mencari rezeki kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Katanya, keadaan cuaca ketika itu amat baik dan dia turut berhasil menangkap empat ekor ikan kayu bersaiz besar.

“Bagaimanapun, pada kira-kira jam 9.30 pagi, kegembiraan itu bertukar sebaliknya apabila cuaca tiba-tiba berubah menjadi buruk sebelum ombak kuat menghempas bot pam saya.

Hasil tangkapan ikan yang diperoleh sebelum cuaca bertukar buruk

“Ketika itu, angin kencang dan laut bergelora menyebabkan bot sukar dikawal sehingga menyebabkan saya terjatuh ke dalam laut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Al Sipal berkata, sebaik terjatuh ke laut, dia cuba berenang untuk mengejar bot miliknya namun sukar berikutan enjin masih hidup dan terus hilang dari pandangannya.

Katanya, keadaan arus ombak yang kuat turut melambatkan pergerakannya sebelum memilih untuk berhenti bagi menyimpan tenaga dan berusaha menjadi daratan.

“Syukurlah, ketika itu keadaan angin kuat dan arus air pasang juga menghala ke daratan. Jadi saya hanya perlu berenang perlahan-lahan untuk mengikuti arah arus ombak berkenaan.

“Namun, selepas hampir dua jam berenang, jaket keselamatan saya bertambah berat kerana mungkin disebabkannya sudah tamat tempoh.

Al Sipal menunjukkan jarinya yang kecut selepas bertarung nyawa berenang lebih 14 jam untuk menyelamatkan diri di laut

“Saya kemudiannya memilih untuk membuka jaket keselamatan itu dan meneruskan usaha berenang tanpa sebarang bantuan pelampung,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan genting itu, dia digigit oleh seekor sotong torak dan terus menarik hidupan laut berkenaan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus menarik sotong berkenaan dan memakannya berikutan keadaan saya sangat lapar.

“Walaupun pelbagai jenis makanan segera kegemaran terlintas di dalam fikiran ketika itu, namun ia amat membantu untuk mengisi perut kosong selain memberinya tenaga untuk berenang,” katanya.

Al Sipal berkata, keadaan sudah mulai gelap dan dia terus berenang berpandukan arah lampu kapal yang berlabuh di kawasan belakang perairan Pulau Sepanggar.

“Saya sangat bersyukur kerana akhirnya beberapa kru kapal pelantar menyedari kehadiran saya dan terus membantu naik ke atas kapal.

“Ketika itu, saya baru menyedari waktu sudah mencecah kira-kira jam 11.30 malam dan mereka kemudiannya menghubungi keluarga menggunakan telefon satelit,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya dijemput oleh ahli keluarga dan dibawa pulang dengan selamat sebelum membuat laporan polis.

“Walau apa pun yang terjadi, saya tidak akan serik untuk turun ke laut selepas ini berikutan lautan itulah yang menjadi sumber rezekinya setiap hari,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan pengalaman ngeri berkenaan, Al Sipal menyarankan kepada semua nelayan supaya sentiasa membawa gelen kosong di atas bot masing-masing.

Katanya, ia untuk digunakan sebagai peralatan tambahan sekiranya berlaku kecemasan seperti dilaluinya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|