PUTATAN: Penduduk setempat di Putatan khususnya di lokaliti Tanjung Keramat digesa untuk berkerjasama erat dengan pihak berwajib dalam memastikan kebersihan kawasan terus terjaga dari semasa ke semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, penjagaan kawasan rumah, parit dan laman memain peranan bukan sahaja dari aspek kebersihan akan tetapi pada masa sama dapat menangani permasalahan penyakit dan wabak denggi.
Sehubungan itu, kerjasama terbabit amatlah dituntut dan tidak terlalu bergantung harap dengan pihak berkaitan terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Putatan (MDPTN) yang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan atau pembersihan.
“Kita haraplah para penduduk di sini terutamanya di Tg Keramat supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab membersihkan halaman dan bergotong royong dengan jiran setempat.
“Berdasarkan tinjauan kami, masih banyak kawasan parit di kawasan perumahan, kampung berada dalam risiko yang kotor dan kita meminta supaya pihak berwajib supaya turut mengajak para penduduk meningkatkan kesedaran mereka terhadap aspek kebersihan, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout di beberapa kawasan seperti Kampung Sri Pandan, Kg Pasir Putih, Taman Pasir Putih dan Taman Jumbo, Putatan, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama adalah Pegawai Daerah Putatan; Masawi Salleh, Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan; Ummar Ariff Abu Bakar, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan; Ahmad Helmy Mohd Taib.
Turut serta dalam rombongan berkenaan adalah pegawai dan kakitangan MDPTN, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, SESB dan UPPM Tg Keramat.
Mengulas lanjut mengenai program walkabout itu, SAY mendedahkan ia merupakan kesinambungan program yang diadakan sebelum ini dalam meninjau keadaan perparitan, masalah jalan, infrastruktur di kawasan yang dilawati.
“Antara lain juga, kami juga melakukan tinjauan terhadap struktur pili bomba di kawasan yang dilawat dan saya berpuas hati dengan keadaan semasa.
“Saya juga menyeru para penduduk sekitar supaya tidak meletakkan kenderaan mereka yang mampu menghalang pili bomba ini kerana ia akan menyukarkan pihak bomba sekiranya terdapat insiden kecemasan.
“Manakala isu-isu lain seperti perparitan, masalah sampah, infrastruktur pembangunan setempat juga kami lakukan tinjauan dan sudah diajukan kepada pihak berkaitan untuk tujuan penyelesaian secara tuntas, ” katanya.
Tambah beliau, antara isu lain yang berbangkit adalah permasalahan parkir kereta sehingga kesesakan dan ketidakselesaan penduduk juga mendapat keperihatinan dalam program walkabout berkenaan.
