SESB bayar RM9.1 juta faedah kepada pengguna

SESB bayar RM9.1 juta faedah kepada pengguna

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membayar RM9.1 juta jumlah faedah ke atas deposit akaun pelanggannya di Sabah dan Labuan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata bayaran dalam bentuk rebat itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna bagi Januari dan Februari ini.

Katanya, setiap pelanggan SESB menerima faedah tahunan atau rebat 2.5 peratus daripada jumlah deposit dalam akaun elektrik masing-masing.

“Pemulangan semula rebat itu membabitkan seramai 672,624 pengguna yang membuat pembayaran deposit secara tunai di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Faedah ini adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990. Ia akan dikreditkan ke dalam bil elektrik pelanggan bermula pada Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, deposit bil elektrik atau wang cagaran elektrik dikenakan terhadap pelanggan sebagai sekuriti jika berlaku kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan.

Katanya, ia selaras dengan Peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990.

“Ia dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan elektrik secara purata bagi enam bulan berbanding wang cagaran sedia ada.

Bagaimanapun, katanya jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan atas permintaan pengguna melalui rebat dalam bil elektrik mereka.

Katanya, pengguna boleh menghubungi talian SESB Careline 15454 atau 088-515000 sekiranya memerlukan penjelasan atau memuat turun aplikasi mySESB pada telefon bimbit untuk mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan SESB.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|