Pantau prestasi pelaksanaan perancangan jabatan, agensi – Shahelmey

Pantau prestasi pelaksanaan perancangan jabatan, agensi – Shahelmey

Kota Kinabalu: Prestasi pelaksanaan bagi setiap perancangan jabatan dan agensi harus dipantau kata Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau yang juga merangkap Timbalan Ketua Menteri berkata, ia bagi memastikan jabatan berada pada landasan yang tepat.

“Ketua-ketua Jabatan harus memantau prestasi keseluruhan jabatan bagi memastikan jabatan berada pada landasan yang tepat. Sifat ‘pimpin melalui teladan’ seharusnya sentiasa disemat dalam diri.

“Budaya kerja yang berintegriti, cekap dan efisien merupakan budaya kerja yang perlu ada di dalam diri setiap warga kerja di Kementerian ini.

“Berilah perkhidmatan yang terbaik semasa menjalankan tugas dan tanam sikap sentiasa inginkan peanambahbaikan perkhidmatan.

“Baik dari segi sistem penyampaian, proses kerja dan penghasilan agar ianya benar-benar dapat memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Amanat Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) Tahun 2023, di The Pacific Sutera Hotel, semalam.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, warga Kementerian, jabatan dan agensinya turut diseru untuk terus menambah baik dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.

“Sebagai agensi yang terlibat dalam membina dan menyelenggara infrastruktur, utiliti dan perkhidmatan pengangkutan sudah tentu kita tidak terlepas dari komen atau aduan orang awam.

“Oleh itu, tiba masanya untuk membuat penambahbaikan segera untuk memperbaiki kelemahan dan seterusnya dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan kerja-kerja di bawah Kementerian ini.

“Saya berharap komitmen padu terus diberikan dalam membaik pulih aset yang terjejas terutamanya yang melibatkan infrastruktur dan perkhidmatan.

“Kerja-kerja pembaikan dan pemantauan berterusan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat terjaga,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|