Tujuh jawatankuasa MPWS diminta bantu kerajaan perkasakan pembangunan wanita

Tujuh jawatankuasa MPWS diminta bantu kerajaan perkasakan pembangunan wanita

Kota Kinabalu: Tujuh jawatankuasa yang diwujudkan di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) diminta membantu kerajaan memperkasakan pembangunan wanita di negeri ini, khususnya di luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini termasuk memperhebatkan aktiviti yang boleh meningkatkan sosio ekonomi wanita di seluruh negeri ini.

“MPWS melalui tujuh jawatankuasa ini perlu memperhebatkan usaha untuk membuat program yang memberi manfaat kepada wanita dan yang boleh menambah sumber ekonomi mereka.

“Saya mahu MPWS fokus kepada usaha untuk menambah sumber pendapatan mereka khususnya wanita yang terbabit sebagai peniaga atau usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Banyak bantuan disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan bagi membantu golongan peniaga di negara ini. Dalam hal ini, MPWS melalui jawatankuasa yang berkaitan boleh membantu menyebarluaskan segala bentuk bantuan berkenaan kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan Pengerusi dan Ahli-Ahli MPWS Sesi 2023-2024 di Pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, hari ini.

Tujuh jawatankuasa kecil yang diwujudkan di bawah MPWS iaitu Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, Wanita dan Media, bertujuan menggerakkan usaha dan memajukan hala tuju dalam menyejahterakan rakyat khasnya kaum wanita.

Mengulas lanjut, Hajiji juga ingin MPWS bertindak sebagai badan pemikir dan pelaksana program serta dasar bagi menyatukan usaha ke arah memajukan wanita di negeri ini.

Menurut beliau, ini bagi memastikan wanita di negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan.

“Kita mahu wanita lebih berdaya saing dan berpengetahuan supaya mereka terus maju serentak dengan perubahan dan pembangunan negara. Menuju ke arah itu, MPWS turut menggalas tanggungjawab berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5.83 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah pada tahun ini bagi membiayai pelbagai program kepimpinan dan pembangunan wanita.

“Kemudahan pinjaman mikro kepada golongan wanita akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).

“Pembangunan wanita adalah salah satu agenda penting yang menjadi tumpuan kerajaan dalam konteks pembangunan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut berharap seramai 12 ahli yang dilantik menerajui MPWS bagi sesi 2023-2024 akan memberikan sumbangan idea, masa dan tenaga untuk melaksanakan sebaiknya agenda pembangunan wanita di Sabah.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|