SAFA dan media rakan akrab dalam memajukan bola sepak di Sabah

SAFA dan media rakan akrab dalam memajukan bola sepak di Sabah

Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) dan rakan media sentiasa akrab kerana kedua-duanya memerlukan antara satu sama lain.

Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, hubungan erat ini akan memberi manfaat bukan saja dari aspek populariti tetapi juga dapat membantu memajukan bola sepak negara secara tidak langsung.

Katanya, menerusi media, setiap pasukan bola sepak sudah pasti dapat mendekatkan diri dengan peminat bola sepak dan penyokong masing-masing.

“Ia akan membawa manfaat yang baik kepada pasukan termasuk menambahkan lagi sokongan padu daripada peminat bola sepak.

“Kita sentiasa akrab dengan rakan-rakan media dan ia bukan sesuatu yang baharu, malah kita mengadakannya pelbagai aktiviti bersama dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dr Jelani berkata, perlawanan persahabatan antara SAFA dengan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) ini juga akan menjadi landasan penting dalam mengukuhkan lagi silaturahim kedua-dua pihak.

Perlawanan yang berlangsung di ibu pejabat persatuan bola sepak berkenaan dimenangi oleh pasukan SAFA dengan keputusan 4-2.

Sementara itu, Dr Jelani berkata, penubuhan Akademi Bola Sepak SAFA, yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Sabtu lalu, merupakan satu sejarah penting di Sabah.

Menurut beliau, ia amat penting dalam memantapkan lagi pembangunan bola sepak di Sabah di masa hadapan.

“Penubuhan akademi bola sepak ini sudah menjadi realiti dan selepas ini ia akan dikembangkan ke lapan zon di seluruh negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|