Program O2 bantu keperluan rawatan perubatan rakyat kurang berkemampuan – Hajiji

Program O2 bantu keperluan rawatan perubatan rakyat kurang berkemampuan – Hajiji

Kota Kinabalu: Program Oksigen (O2) Untuk Rakyat #SharingIsCaring diperkenalkan bagi memenuhi keperluan rawatan perubatan rakyat yang kurang berkemampuan di negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri itu akan dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Sabah Energy Corporation (SEC).

Menurutnya, program itu dilaksanakan kerana kerajaan sedar bahawa peralatan mesin oksigen dan tangki oksigen tidak mampu dimiliki oleh semua pesakit kerana harganya yang mahal.

“Bekalan peralatan sedia ada di hospital juga tidak mencukupi dan pesakit juga terpaksa berulang alik ke hospital bagi mendapat rawatan.

“Selain itu, masih ramai lagi individu di luar sana yang tidak berkemampuan dan amat memerlukan perkhidmatan itu, yang mana mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Kesihatan.

“Usaha murni ini tercetus atas keprihatinan kerajaan negeri melalui YKS dan SEC bertujuan membantu rakyat negeri ini yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan peralatan oksigen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Oksigen (02) Untuk Rakyat #SharingIsCaring di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, hari ini.

Katanya, sepanjang tahun 2022 hingga Januari 2023, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencatatkan sebanyak 74 kes pesakit di Sabah yang memerlukan bantuan mesin oksigen, manakala 11 pesakit lagi memerlukan, bantuan tangki oksigen.

“Daripada 74 kes pesakit yang memerlukan bantuan mesin oksigen tersebut, seramai 36 orang pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu, 15 orang di Zon Sandakan, 14 orang di Zon Tawau, 7 di Zon Keningau dan 2 di Zon Beaufort.

“Manakala, bagi 11 keperluan tangki oksigen pula, seramai 6 orang pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu dan 5 orang di Zon Sandakan,” katanya.

Selain bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan, beliau ingin pemimpin masyarakat seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di seluruh negeri ini membantu menguar-uarkan perkhidmatan itu kepada mereka yang memerlukannya.

Hajiji berkata, menerusi program ini, peralatan mesin oksigen dan tangki oksigen di tempatkan di hospital kerajaan dan diberikan secara pinjaman dengan dikawal selia oleh Jabatan Kesihatan.

“Bantuan ini diberikan kepada semua rakyat yang memerlukannya tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

“Pelaksanaan program itu adalah bertepatan dengan konsep dan pendekatan “Malaysia MADANI” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri melalui penerapan 6 rukun teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

“Dalam konteks ini, aspek ‘kesejahteraan’ dan ‘kesihatan’ rakyat telah dijadikan dimensi pengukur kadar kemiskinan bagi melihat tahap pencapaian negara ke arah mewujudkan sebuah negara Madani yang menjadi impian kita semua, insha-Allah.

“Di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya, aspek kesejahteraan rakyat juga telah diberikan penekanan utama.

“Penubuhan YKS juga adalah satu platform Kerajaan Negeri untuk membantu dan mendekati golongan rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan dan perhatian secara khusus,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi YKS turut menggesa semua pihak sama ada jabatan atau agensi kerajaan, Badan-Badan Berkanun, Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) dan Badan-Badan Korporat untuk terus memberi sokongan kepada YKS dalam membantu golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas di negeri ini.

“Cabaran utama yang dihadapi dalam usaha negara menggapai kesejahteraan rakyat secara maksima ialah kurangnya fasiliti dan kekangan peruntukan bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini.

“Penglibatan dan sokongan padu daripada semua pihak amatlah diharapkan untuk membantu kerajaan negeri mencapai sasaran bagi mewujudkan sebuah negara Madani dan Sabah Maju Jaya,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin dan Pengerusi Sabah Energy Corporation, Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|