Kumpulan Gezhouba cadang bina loji jana kuasa hidro bernilai RM4 bilion di Sabah

Kumpulan Gezhouba cadang bina loji jana kuasa hidro bernilai RM4 bilion di Sabah

Kota Kinabalu: Kumpulan tempatan, Megaworld Vest Sdn Bhd dan Kumpulan Gezhouba dari China merancang untuk memulakan usaha sama bagi membina loji penjanaan kuasa hidro yang mampu menghasilkan sehingga 1,000 megawatt bernilai RM4 bilion, di Liwagu, Ranau.

Cadangan projek ini selaras dengan visi Kerajaan memperkenalkan dan membina lebih banyak infrastruktur bekalan kuasa boleh diperbaharui di Sabah.

Ia bagi menggantikan secara ansuran loji janakuasa gas dan diesel sekarang susulan kekurangan penghasilan gas di Sabah, dalam masa terdekat.

Gezhouba merupakan kontraktor utama yang membina Empangan Three Gorges 22,500 megawatt di China, empangan kuasa hidro terbesar di dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah diberi taklimat mengenai cadangan ini semasa menerima kunjungan hormat bersama daripada delegasi Megaworld Vest dan Gezhouba.

Kunjungan hormat itu telah diketuai oleh Pengerusi Megaworld Vest, Datuk Seri Arsit Sedi, di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, baru-baru ini.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Pengarah Megaworld Vest Datuk Maijol Mahap; serta Pengarah Urusannya, Ir Herman SK Lee, Melvin Lee, Rachel Lee dan Jimmy Tang.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur untuk datang dan melabur di Sabah, selaras dengan polisi mesra pelaburnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|