MPFL: Sabah menentang ATM Ahad ini

MPFL: Sabah menentang ATM Ahad ini

Kota Kinabalu: Pasukan futsal Sabah akan meneruskan saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) menentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perlawanan keempat bagi pasukan futsal Sabah itu buat julung kalinya akan diadakan di Gelanggang Futsal Yayasan Sabah, Ahad ini.

Mengikut rekod pencapaian sebelum ini, pasukan Sabah berjaya mencatatkan dua kemenangan ke atas pasukan Kedah dan KPT-PST Mustangs serta satu kekalahan ditangan Pahang Rangers FC.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Sabah, David Wisom berkata, perlawanan berkenaan akan diadakan pada jam 2 petang.

Katanya, semua persiapan untuk penganjuran perlawanan berkenaan sudah disusun atur menerusi satu mesyuarat yang diadakan hari ini.

“Ia akan diadakan di Gelanggang Futsal Yayasan Sabah dan boleh dihadiri peminat yang ingin menyaksikan perlawanan ini secara langsung.

“Kita berharap sokongan yang diberikan nanti akan menambahkan semangat para pemain untuk meneruskan rekod kemenangan dalam kejohanan MPFL tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Penganjuran MPFL, di sini, hari ini.

David berkata, pihaknya juga berharap kejohanan MFPL ini akan menjadi salah satu sukan diminati ramai dan setaraf seperti Liga Super satu hari nanti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|