Pembinaan Mahkamah Syariah di Papar dijangka siap tahun hadapan – Armizan

Pembinaan Mahkamah Syariah di Papar dijangka siap tahun hadapan – Armizan

Kota Kinabalu: Projek Pembangunan Mahkamah Syariah di daerah Papar dijangka akan siap sepenuhnya pada 25 Ogos 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah merupakan agensi pelaksana bagi projek berkenaan.

Armizan semasa melakukan Lawatan Pemantauan Projek di tapak projek Mahkamah Syariah Daerah Papar, hari ini.

“Sungguh pun telah diluluskan pada tahun 2018, namun terdapat sedikit kelewatan sebelum ini yang antara lain berpunca daripada isu kesesuaian lokasi.

“Tapak yang dikenal pasti adalah kawasan berpaya/berair yang melibatkan implikasi kewangan tambahan.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju meluluskan tambahan kos siling projek sebanyak RM3.5 juta dan nilai terkini keseluruhan projek adalah RM18.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan Pemantauan Projek di tapak projek Mahkamah Syariah Daerah Papar, hari ini.

Armizan berkata, proses perolehan projek telah selesai dilaksanakan dan kebenaran masuk tapak bagi melaksanakan kerja tanah telah diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Tinjauan hari ini adalah untuk melihat status kemajuan kerja-kerja awal sekali gus mendapatkan maklum balas sekiranya masih terdapat isu-isu berbangkit.

“Saya meminta semua pihak terlibat untuk memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar untuk memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Ia setelah pelaksanaan awal tertangguh atas isu-isu tertentu khususnya yang melibatkan tapak projek dan keperluan kenaikan kos projek,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pembangunan mahkamah syariah yang baharu di Papar merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Persekutuan demi manfaat penduduk tempatan dan para penjawat awat yang terlibat.

“Bangunan baharu ini kelak akan membolehkan rakyat memiliki prasarana dan persekitaran perkhidmatan kerajaan yang lebih kondusif.

“Ia sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|