RM1.85 juta untuk bantu pelajar Sabah di Timur Tengah

RM1.85 juta untuk bantu pelajar Sabah di Timur Tengah

Kaherah: Kerajaan Negeri telah meluluskan RM1.85 juta untuk membantu meringankan beban pelajar Sabah yang sedang menuntut ilmu di Mesir, Arab Saudi dan Jordan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut beliau, pihaknya memahami kos sara hidup tinggi yang dihadapi oleh para pelajar di Timur Tengah dan menambah bahawa Yayasan Kebajikan Sabah dan Yayasan Sabah akan menyelaraskan bantuan itu.

Hajiji dan isteri merakam gambar kenangan bersama segelintir pelajar Sabah selepas mengadakan perjumpaan di Al-Saraya Intercontinental, City Star Hotel di Cairo, pada Sabtu.

“Saya mahu anda semua terus fokus pada pelajaran dan gunakan peluang ini untuk mempelajari al-Quran dan Hadis secara mendalam.

“Dengan memiliki pemahaman yang lebih mendalam akan meningkatkan nilai intelek yang akan menjadi aset kepada anda apabila kembali berkhidmat kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perjumpaan bersama pelajar Sabah yang meneruskan pengajian di Mesir, Jordan dan Arab Saudi, anjuran Yayasan Sabah di Al-Saraya Intercontinental, City Star Hotel, pada Sabtu.

Hadir sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Hajiji turut menyaksikan penyerahan RM10,000 untuk membeli buku bagi perpustakaan Wisma Yayasan Sabah di sini daripada Majlis Islam Sabah (MUIS), set Hadrah bernilai RM4,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah serta set komputer kepada Persatuan Pelajar Mesir yang disumbangkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri.

Terdahulu, pada 16 Mac, beliau turut mengadakan lawatan ke Ekspo dan Persidangan Keselamatan Maklumat Teluk (GISEC) di Pusat Dagangan Dunia Dubai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|