MUIS rekod kutipan zakat berjumlah RM130 juta tahun ini

MUIS rekod kutipan zakat berjumlah RM130 juta tahun ini

Sandakan: Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) merekodkan kutipan zakat berjumlah RM130 juta bagi tahun ini kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Menurut beliau, ia merupakan hasil daripada pungutan zakat penggajian dan zakat perniagaan, termasuk yang diterima dari pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut menyumbang pembayaran zakat.

“Pada tahun ini, kutipan kita adalah sebanyak RM130 juta dan antara penyumbang kepada zakat ini ialah zakat penggajian, zakat perniagaan serta zakat-zakat yang lain juga ada kita terima daripada pihak GLC.

“Justeru, saya menyeru kepada umat Islam khususnya kakitangan kerajaan agar tampil dan kepada syarikat-syarikat atau orang yang berniaga dapat mengemukakan pembayaran zakat perniagaan mereka untuk kita menerima dan kita sumbangkan kepada asnaf-asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Malam Jalinan Kasih Aidilfitri 2.0 di Dewan Serbaguna, Masjid Daerah Sandakan, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Arifin turut menyeru kepada orang awam yang berkelapangan untuk sama-sama hadir memeriahkan lagi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri.

Menurutnya, seramai 20,000 orang dijangka hadir majlis yang akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad ini.

“Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Hajah Dr Norlidah Tan Sri R.M Jasni serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama-sama dalam majlis ini.

“Saya menyeru kepada masyarakat di sekitar Kota Kinabalu khasnya, atau yang berdekatan malah juga dari Sandakan, jika berpeluang hadir untuk menyemarakkan program itu,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|