Rumah terbuka Aidilfitri semai perpaduan – Bung Moktar

Rumah terbuka Aidilfitri semai perpaduan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Penganjuran rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri satu pendekatan bagi mengeratkan silaturrahim dan memperkukuh perpaduan antara satu sama lain.

Selain itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia turut berperanan bagi merapatkan hubungan antara pemimpin bersama rakyat dan mengetengahkan konsep berkongsi rezeki.

Bung bersalaman dengan orang ramai yang hadir ke majlis rumah terbuka beliau.

Menurut beliau, tradisi rumah terbuka dilaksanakan saban tahun ketika Aidilfitri, namun tidak dibuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan penularan COVID-19.

“Ahamdullilah, penularan COVID-19 di negara kita semakin berkurangan, membolehkan kita dapat berkumpul dan mengadakan majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Bagaimanapun, kita masih dalam keadaan berwaspada dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana jangkitan COVID-19 masih berlaku ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di Luyang, baru baru ini.

Lebih 1,000 orang terdiri dari Ketua-Ketua Umno bahagian pemimpin pemimpin masyarakat dan rakan rakan dari pelbagai kaum dan agama menghadiri majlis tersebut.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, menerusi majlis seperti ini, perpaduan kaum dapat diperkukuhkan melalui budaya kunjung-mengunjung dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Katanya ia adalah selaras dengan konsep kerajaan Perpaduan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Majlis rumah terbuka sebegini juga dapat meningkatkan lagi kemesraan antara rakyat dengan pemimpin dimana kestabilan dan kemakmuran dikecapi hasil kerjasama semua kaum membolehkan setiap perayaan disambut bersama selaras dengan konsep Malaysia Madani.

“Iaitu memelihara rakyat daripada kancah perkauman dan mengelak usaha pihak tertentu yang menggunakan poltik identiti untuk memecah-belahkan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas sambutan Aidilfitri tahun ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata walaupun disambut sederhana namun ia cukup meriah.

“Kita faham kedudukan ekonomi negara masih dalam proses pemulihan dan semua pihak terjejas, khususnya golongan B40, yang penting bukan meriahnya persediaan kita dari segi pakaian makan dan minum.

“Apa yang penting bagaimana kita manafaatkan sambutan ini kearah menjalin hubungan silaturrahim, dimana keharmonian dan perpaduan cukup penting untuk menjana kestabilan politik dan pembangunan negara,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|