UMNO Kalabakan pastikan parti terus relevan, diminati masyarakat

UMNO Kalabakan pastikan parti terus relevan, diminati masyarakat

Tawau: UMNO Kalabakan akan memastikan parti ini terus relevan dan diminati oleh masyarakat terutamanya pengundi muda pada masa kini.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, pihaknya akan menjalankan pelbagai program khususnya berkaitan digitalisasi dan media baharu supaya parti ini mendapat tempat dihati pengundi muda.

Katanya, ia selaras dengan saranan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar yang mahukan pembaharuan perlu dilakukan bagi menarik perhatian pengundi muda.

“Kita sudah menyusun, memperhalusi strategi dan membuat pembaharuan dalam gerak kerja supaya jentera UMNO Kalabakan dapat melaksanakan tugas sesuai dengan kehendak pengundi masa kini.

“UMNO Kalabakan akan memberi keutamaan terhadap media sosial supaya dapat membendung provokasi dan fitnah, selain berperanan memberi info yang tepat serta pantas kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Kalabakan, di sini, hari ini.

Menurutnya, UMNO Kalabakan juga turut memberi perhatian kepada pengundi veteran dengan meneruskan program-program ziarah kasih yang sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Kalabakan khususnya Ketua-ketua Cawangan dan akar umbi diminta supaya sentiasa turun padang menyantuni pengundi disemua peringkat,” katanya.

Sementara itu, katanya, UMNO Kalabakan juga sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah sekiranya berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) secara mengejut.

“Saya yakin momentum UMNO Kalabakan terus meningkat dan mendapat tempat di hati pengundi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.

“AJK UMNO Kalabakan yang ada pada hari ini adalah tonggak utama pada PRU lalu sehingga calon kita mendapat majoriti besar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis tersebut, Samasuddin berkata, ia diraikan bersama masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

“Saya sangat bersyukur kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau merangkap Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin turut hadir dalam majlis ini.

“Selain itu, kehadiran wakil-wakil rakyat daripada pelbagai parti juga menandakan sambutan ini perlu dirai dengan semangat silaturrahim dan toleransi,” katanya lagi.

Turut hadir, ADUN Merotai, Sarifuddin Hatta, ADUN Sri Tanjung, Justin Wong dan mantan ADUN Balung, Datuk Osman Jamal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|