Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Sabah diadakan 4 Mei ini

Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Sabah diadakan 4 Mei ini

Kota Kinabalu: Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka menjadi tetamu kehormat dalam majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah yang akan diadakan di bangunan UMNO Karamunsing pada 4 Mei ini.

Majlis yang bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang itu dijangka turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, ahli majlis tertinggi UMNO, barisan kepimpinan UMNO Sabah, pemimpin-pemimpin UMNO bahagian, ahli-ahli UMNO, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta pemimpin masyarakat tempatan.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pelbagai acara disediakan sempena sambutan tersebut, antaranya ialah persembahan hiburan oleh artis-artis tempatan.

Katanya yang juga Ketua UMNO bahagian Libaran, majlis ini juga merupakan peluang terbaik bagi rakyat, khususnya ahli-ahli UMNO mengenali pemimpin di peringkat pusat dan negeri yang sebilanganya adalah muka baharu yang terpilih dalam pemilihan UMNO bahagian baru-baru ini.

“Kehadiran rakyat khususnya ahli-ahli UMNO sudah pasti dapat mengeratkan silaturrahim bersama pemimpin UMNO pusat dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.

Beliau berkata, peluang untuk bermesra dalam majlis rumah terbuka ini boleh dijadikan sebagai wadah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di antara pemimpin dan ahli-ahli parti.

Sementara itu, UMNO/BN bahagian Kinabatangan juga akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Sri Lamag Kinabatangan pada 1 Mei (isnin), bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.

Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan menjadi tetemu kehormat majlis tersebut yang akan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan UMNO Bahagian Kinabatangan.

Sehubungan itu, Setiausaha UMNO bahagian Kinabatangan, Wan Daud Kahar berkata, pelbagai acara turut disediakan sempena dengan sambutan tersebut, antaranya ialah persembahan hiburan dari artis-artis tempatan.

“Bagi pihak UMNO bahagian Kinabatangan, saya mengalu-alurkan kedatangan orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO bahagian ini.

“Di mana peluang ini perlukan dimanfaatkan untuk beramah mesra antara pemimpin dan ahli, selain ianya dapat memperkukuhkan hubungan silaturrahim,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|