Hargai kepelbagaian kaum – Bung Moktar

Hargai kepelbagaian kaum – Bung Moktar

Kota Belud: Rakyat di negeri ini harus menghargai kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negara ini kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, sebarang perbuatan yang boleh memecah-belah kepelbagaian kaum dan agama yang ada di negara ini perlu dihentikan.

Bung bersalaman dengan orang ramai sejurus tiba ke majlis tersebut.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana memiliki masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni sejak sekian lama.

“Ini dapat kita saksikan melalui perkongsian perayaan dimana pelbagai kaum dan agama turut bersama meraikan sambutan majlis Rumah terbuka Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said di SSK Center, Kampung Pirasan, kelmarin.

Hadir sama ialah Bendahari UMNO Sabah yang juga ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Tun Said; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dan Ketua Umno bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, rakyat harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di negara-negara lain terutamanya di negara Amerika Syarikat berlakunya tunjuk perasaan tercetus dalam kalangan penduduk kulit hitam yang tidak puas hati dengan layanan yang oleh sesetengah pihak berkuasa dan pemimpin kulit putih.

“Walaupun Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang paling maju sekali dalam dunia pada ketika ini, tetapi mereka gagal mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak melakukan perubahan minda dan jiwa mereka supaya tidak mementingkan diri atau kaum mereka sahaja sekiranya kita ingin kekal hidup aman dan harmoni.

“Ketepikan sebarang perbezaan kecil yang ada serta bersatu hati bagi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi membawa kebaikan buat semua,” katanya lagi.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menambah, dalam konteks sejarah Malaysia pula, semua kaum yang ada di negara ini telah memainkan peranan penting dalam memajukan dan memakmurkan negara ini sejak mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

“Hakikat ini harus diterima oleh semua pihak. Tiada pihak yang boleh mengaku bahawa hanya diri mereka yang memberi sumbangan terhadap kemajuan dan kemakmuran negara.

“Ini kerana Malaysia tidak mungkin dapat wujud sebagai sebuah negara yang dikenali dunia pada masa kini tanpa sumbangan semua kaum yang ada dalam negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan sedikit rasa kesal kerana konsep Kerajaan Perpaduan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi amalan Kerajaan Negeri hari ini yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik demi kemajuan dan kemakmuran rakyat.

“Kerana lebih mementingkan kepentingan dan memperkukuhkan kedudukan politik, konsep kerajaan perpaduan di negeri ini diketepikan, yang ada hanya kepada dendam politik berpanjangan yang tidak dapat membantu membangunkan Sabah ke tempat sewajarnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|