Mahasiswa Sabah di IPT diseru sertai program Sayap Pelajar GRS – Hajiji

Mahasiswa Sabah di IPT diseru sertai program Sayap Pelajar GRS – Hajiji

Kota Kinabalu: Mahasiswa Sabah yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta diseru untuk melibatkan diri dalam program anjuran Sayap Pelajar Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau ingin mahasiswa, termasuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas, mempunyai pengetahuan mengenai keadaan dan perjuangan politik di negara ini termasuk di Sabah.

Hajiji bersama pemimpin GRS dan mahasiswa IPT yang menyertai Konvensyen Mahasiswa GRS di Kota Kinabalu.

“Justeru, saya mahu lebih ramai mahasiswa Sabah di IPT awam atau swasta seluruh negara dilibatkan dalam program yang dilaksanakan oleh Sayap Pelajar GRS.

“Menerusi penglibatan mereka dalam program seperti ini, kerajaan akan lebih maklum segala kemahuan atau permintaan yang disuarakan oleh anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, selain konvensyen itu, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai platform kepada pelajar untuk berkongsi aspirasi dan juga menyuarakan hak mereka.

“Antaranya ialah penganjuran Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), semua ini memperlihatkan pengiktirafan kerajaan kepada anak muda terutamanya pelajar.

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan meneliti dan mengambil perhatian serius terhadap setiap usul yang dicadangkan demi kepentingan bersama termasuk menerusi konvensyen ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta dalam Belanjawan 2023 untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.

“Semua ini adalah bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi, dan saya berharap anak muda kita akan mengambil peluang segala inisiatif yang disediakan kerajaan kerana anda semua adalah aset yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Tambahan itu, beliau turut mengajak para mahasiswa untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha membawa negeri Sabah lebih maju dan makmur serta menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|