Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bakal mengetuai sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, parti itu akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini.
Menurutnya, parti itu telah diterima oleh GRS sebagai dan parti gabungan pada 9 Disember lalu.
“InsyaAllah, kita akan menggerakkan dan meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan Sabah demi pembangunan rakyat serta negeri ini.
“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai Ketua Menteri.
“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Hotel Raia, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sekiranya ia merupakan parti baharu, Hajiji berkata Gagasan Sabah adalah parti sedia ada yang kini diambil alih dan diketuainya.
Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji turut menzahirkan rasa hairan terhadap sikap beberapa pihak yang masih tidak puas hati dengan pentadbirannya.
“Saya hairan kenapa, sedangkan kita mengurus negeri dengan baik. Namun saya tahu, semua ini bukan kerana kita gagal urus negeri, sebaliknya ada perasaan rakus dan tamak dengan kedudukan.
“Bagaimanapun, saya yakin dengan sokongan rakyat kerana kita telah berjaya melakukan yang terbaik untuk masa depan Sabah, saya yakin kita boleh mengatasi semua cabaran dalam pemerintahan ini,” katanya.
Untuk rekod, GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Hadir sama Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin dan Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS, Datu Hishamuddin Datu Hasim.
-Deasoka