Genting Highlands: Sebut sahaja jenama Yamaha, ramai membayangkan motosikal yang berkuasa, menarik dan berkualiti.
Namun, tidak kurang juga beranggapan jenama itu terdiri daripada produk yang mahal sama ada kategori cub sehingga ke motosikal berkuasa tinggi.
Baru-baru ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan motosikal suntikan bahan api serba baharu untuk pelanggan tempatan.
Model serba baharu yang dikenali sebagai Yamaha menjanjikan prestasi lebih baik dan utiliti yang lebih mudah untuk sebarang gaya hidup selain EZ115 yang mematuhi penarafan EU4.
Yamaha EZ115 direka bagi memenuhi keperluan tunggangan antaranya dilengkapi enjin suntikan bahan api 114cc yang menawarkan pecutan lebih baik, kecekapan bahan api.
Selain itu, kerangka yang ringan membolehkan penunggang mengawal jentera dengan lebih baik dan selesa.
Model pengganti Lagenda ini didatangkan dengan lampu depan besar untuk penglihatan malam yang lebih jelas dan penunjuk lampu ECO yang membantu penunggang merasai penjimatan bahan api.
Antara ciri lain termasuklah ruang storan bawah tempat duduk lebih besar dan mesra penunggang.
Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Datuk Dr Jim Khor berkata, model berkenaan akan digunakan dalam perlumbaan motosikal tempatan.
“Untuk menunjukkan prestasi dan keupayaan Yamaha EZ115, model ini akan digunakan dalam perlumbaan CubPrix Malaysia 2023.
“Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada semua potensi motosikal baharu ini dan apa yang Yamaha boleh lakukan,” katanya.
Yamaha EZ115 serba baharu hadir dalam tiga warna merah, biru dan cyan.
Model ini mula berada di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara mulai 16 Januari 2023 dengan harga runcit disyorkan bermula RM5,598 tanpa insurans.
Semua pemilik akan menerima kunci cakera keselamatan sebagai hadiah dengan pembelian mereka.
-Deasoka