Banjir: Banjir Sabah terus catat trend penurunan

Banjir: Banjir Sabah terus catat trend penurunan

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah meneruskan trend penurunan, setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, seramai 1,664 mangsa daripada 651 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan daripada tiga daerah yang masih terjejas.

“Susulan penurunan jumlah mangsa banjir di negeri ini, terdapat sebuah lagi PPS telah diisytihar tutup sepenuhnya, iaitu Masjid Binsulung di Paitan.

“Penutupan itu membawa jumlah keseluruhan PPS yang masih beroperasi kepada sembilan buah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jelasnya, terdapat lapan buah PPS yang aktif di Paitan, antaranya ialah Dewan Kampung Kubambangan, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol, Rumah Pengerusi JPKK Kampung Cocos dan Dewan Kampung Sungai-Sungai.

Selain itu, ialah Dewan Kampung Kusilad, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2, Dewan Kampung Kabatasan dan SK Bangkau-Bangkau.

Sementara itu, satu-satunya PPS yang masih dibuka di Lahad Datu ialah Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu.

“Sehubungan itu, antara daerah yang masih terkesan ialah Pitas (1,363 mangsa), Paitan (259 mangsa) dan Lahad Datu (42 mangsa),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|