Kereta terbabas, pemandu maut

Kereta terbabas, pemandu maut

Tuaran: Seorang pemandu maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh pagar rumah dalam kejadian di Jalan Tenghilan, berhampiran tanah perkuburan cina, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa Mohd Asrulnizam Maugan yang berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 12.59 tengah malam.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga Aeroback yang terbabas di tepi jalan dan melanggar pagar rumah.

“Seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.05 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|