Banjir: Mangsa banjir menurun kepada 1,723

Banjir: Mangsa banjir menurun kepada 1,723

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan penurunan dengan hanya 1,723 mangsa daripada 673 Ketua Isi Rumah (KIR), setakat 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan yang signifikan berbanding 2,639 mangsa daripada 927 KIR yang dilaporkan pada jam 4 petang tadi.

Penghantaran pulang mangsa banjir di Pitas.

“Susulan itu, sebanyak tujuh lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dihentikan operasi, membawa jumlah PPS yang masih aktif kepada 10 lokasi.

“Terdapat dua PPS di Paitan yang telah ditutup, iaitu Pusat Komuniti Masyarakat Daerah Kecil Paitan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Nipis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, lima PPS ditutup di Pitas, iaitu SK Salimpodon, Dewan Kampung Sinukab, Dewan KBS, SK Dandun dan Masjid Kampung Senaja.

Untuk rekod, tiga daerah yang masih terjejas ialah Pitas (1,348 mangsa), Paitan (333 mangsa) dan Lahad Datu (42 mangsa).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|