Mangsa tidur dekat tingkap sebelum didapati hilang

Mangsa tidur dekat tingkap sebelum didapati hilang

Kota Kinabalu: Kanak-kanak yang maut akibat terjatuh dari tingkat 14 sebuah hotel, di sini dikatakan tidur berhampiran tingkap sebelum didapati hilang pada pagi semalam.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik di tingkat 14 ke beranda di tingkat lima bangunan hotel berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama ibu bapa dan abangnya berasal dari Miri datang ke Kota Kinabalu untuk bercuti pada 23 Februari dan menginap di hotel berkenaan.

Pada 26 Februari lalu, mangsa yang baru tamat darjah enam di sebuah sekolah rendah Islam di Miri dikatakan baru balik dari bercuti di Ranau bersama keluarganya.

Mangsa mengalami demam panas dan keluarganya membawa mangsa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

Pada keesokannya, jam 5.50 pagi, ibu bapa mangsa mendapati anaknya tiada di tempat tidur dan mereka cuba mencari tetapi gagal sebelum meminta bantuan daripada pihak polis.

Selepas anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu tiba lalu membuat pemeriksaan dan dilihat mangsa terbaring di beranda di tingkat lima hotel berkenaan.

Pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang turut hadir di lokasi mengesahkan kematian mangsa.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tidur sebilik dengan ibu bapanya dan katil mangsa terletak di hujung sebelah tingkap.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap 14 ke beranda di tingkat lima iaitu dengan ketinggian 22.5 meter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mendapati kejadian yang berlaku didapati tiada unsur jenayah.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|