Kru bot nelayan jatuh laut dikhuatiri lemas

Kru bot nelayan jatuh laut dikhuatiri lemas

Kota Kinabalu: Seorang kru bot nelayan warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dalam laut di perairan Pulau Manukan, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai La Edi, 24, disedari hilang oleh tekong ketika bot berada di lima batu nautika dari Pulau Manukan, kira-kira jam 9 pagi.

Susulan kejadian itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan mengaktifkan Operasi Carilamat bagi mengesan mangsa terbabit.

Caption
Pasukan Maritim Malaysia melakukan Operasi Carilamat di sekitar perairan Kota Kinabalu

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Pusat Operasi Maritim Malaysia Sabah, menerima panggilan kecemasan daripada pemilik bot terbabit pada petang tadi.

Katanya, menurut tekong bot, ketika hilang mangsa berkemungkinan tidak berbaju dan berseluar pendek warna hitam.

“Operasi Carilamat telah diaktifkan pada jam 3 petang tadi dan pasukan mencari daripada lain-lain agensi sahabat turut dimaklumkan bagi membantu pencarian mangsa.

“Bot peronda Maritim Malaysia, bot Pengawal 38 telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rosli berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan pada 6.30 petang tadi dan akan disambung pada 7 pagi esok.

“Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada komuniti maritim sekiranya menemui sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi dan melaporkan penemuan atau petunjuk kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|