17,195 liter minyak diesel seleweng dirampas

17,195 liter minyak diesel seleweng dirampas

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak diesel dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Kionsom, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 5.20 petang itu, lokasi serbuan berkenaan disita didapati menyimpan sebanyak 17,195 liter minyak diesel di dalam lori tangki, skid tank dan tong drum.

Lokasi serbuan di sebuau stor di Kampung Kionsom, Inanam

Operasi turut berjaya merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan nilai sitaan keseluruhan bernilai RM93,660.25.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik stor turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pasukan operasi memeriksa lori tangki berisi minyak diesel.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, pemilik stor terbabit mendakwa barang kawalan berkenaan diperolehi daripada pembekal diesel industri yang sah.

“Walaubagaimanapun, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

Lori yang dirampas pasukan operasi KPDN.

“Sebagai tindakan lanjut, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, siasatan akan turut dilakukan mengikut Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Skid tank berisi minyak diesel yang dirampas.

Katanya, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie berkata, KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan terhadap semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini.

Katanya, ia bagi memastikan tidak berlakunya sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan seperti minyak diesel.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat perlanggaran undang-undang boleh menyalurkan aduan menerusi aplikasi whatsapp ditalian 019-279 4317 dan 019-848 8000.

“Maklumat turut boleh disalurkan melalui Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my serta Call Centre 1-800-886-800.

“Aduan turut boleh dihantar ke email di e-aduan@kpdnhep.gov.my; Ez ADU KPDNHEP atau hadir sendiri ke Pejabat KPDN berhampiran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|