Polis buru suspek kes samun

Polis buru suspek kes samun

Kota Kinabalu: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang terbabit dalam kes samun hingga menyebabkan kecederaan di kawasan Kompleks Segama, di sini, pada 22 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun bersama isterinya berada di dalam kedai makanan untuk membuat persediaan membuka kedai.

Selepas selesai memasak, mangsa kemudian pergi ke Pasar Besar Kota Kinabalu untuk membeli sayur dan beberapa bekalan untuk dimasak.

Ketika dalam perjalanan pulang ke kedai dengan berjalan kaki, mangsa diekori oleh seorang lelaki (suspek) dari arah belakang.

Suspek itu menyerang mangsa dengan mengunci leher menggunakan tangan dan pada masa sama mengeluarkan pisau lalu mengacukan ke bahagian rusuk kiri mangsa.

Oleh kerana terkejut dengan perbuatan suspek, mangsa cuba melepaskan diri dengan menumbuk muka suspek dan berlaku pergelutan hingga mangsa mengalami kecederaan.

Ketika itu, isteri mangsa yang sedang masak terdengar suara teriakan dari luar kemudian melihat pergelutan antara mangsa dan suspek.

Isteri mangsa terus menjerit meminta tolong dan seorang lelaki yang sedang minum kopi lalu keluar untuk membantu sebelum suspek melarikan diri.

Dompet mangsa yang berisi dokumen penting dan sejumlah wang tunai turut dilarikan oleh suspek.

Akibat kejadian itu, mangsa luka di bahagian bawah rusuk kiri dan menerima tiga jahitan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan polis kini sedang menjalankan siastaan mengesan suspek terbabit.

Katanya, berdasarkan maklumat, suspek berbadan kurus dan tinggi kira-kira 165 sentimeter (sm).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampi membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|