KENINGAU: Taman Bandukan Riverside Resort di sini dipilih sebagai lokasi penganjuran Majlis Reunion Alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran bagi sesi 1979 hingga 1985 yang dijadual berlangsung pada 26 September depan.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang dipengerusikan oleh Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles di bilik mesyuarat resort berkenaan, semalam.
Menurut Yazid, pemilihan Taman Bandukan Riverside Resort dibuat berdasarkan suasana persekitarannya yang nyaman, menarik serta dilengkapi pelbagai kemudahan yang sesuai bagi menghimpunkan semula para alumni selepas sekian lama terpisah.
Katanya, lokasi berkenaan menawarkan pelbagai tarikan dan kemudahan yang mampu memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta sepanjang program reunion berlangsung.
“Taman Bandukan Riverside Resort mempunyai pelbagai kemudahan dan aktiviti menarik seperti taman memancing, zoo sentuh, BBQ Cookout, taman permainan, laluan taman, nurseri taman hijau, kedai cenderamata, ruang acara dan kafe taman.
“Selain itu, kawasan ini turut menyediakan dewan terbuka, penginapan homestay serta persekitaran taman bunga yang indah dan mendamaikan,” katanya.
Beliau berkata, majlis reunion itu bukan sekadar medan pertemuan semula, malah menjadi platform untuk mengeratkan kembali hubungan silaturahim serta mengimbau kenangan ketika menuntut di Maktab Perguruan Kent Tuaran.
“Program ini diharap dapat memperkukuhkan semula hubungan persahabatan yang telah terjalin sejak puluhan tahun lalu di samping menyatukan kembali alumni dalam suasana penuh nostalgia,” katanya.
Yazid turut menggalakkan semua bekas pelajar sesi 1979–1985 yang berada di seluruh negara agar meluangkan masa menghadiri majlis berkenaan bersama pasangan serta rakan-rakan lama bagi memeriahkan lagi acara tersebut.
Sementara itu, yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM100 seorang, manakala kaedah pembayaran serta urusan pendaftaran akan dimaklumkan oleh pihak setiausaha dan bendahari dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, semua alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran sesi 1979–1985 dijemput bersama-sama menjayakan reunion bersejarah itu sebagai usaha menghidupkan kembali nostalgia indah serta semangat kekeluargaan dalam kalangan alumni Kent.
