Kota Kinabalu: Tular sejak beberapa hari lalu beberapa video dan laporan berkaitan kenyataan Datuk Bungsu Aziz Jaafar mengenai isu pelarian di Sabah, namun reaksi sebahagian masyarakat di media sosial dilihat semakin melampaui batas sehingga berlaku penghinaan peribadi, cacian serta pelabelan yang tidak wajar terhadap tokoh agama tersebut.
Kenyataan Mufti Sabah yang menyentuh soal pendekatan kemanusiaan terhadap isu pelarian telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Sabah, khususnya kerana isu pendatang asing dan pelarian merupakan perkara sensitif yang telah lama membebani negeri itu.
Bagaimanapun, Kefayatullah bin Malik Aman, Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap Pengasas TigaSatuTiga Channel, berpandangan bahawa masyarakat perlu menilai keseluruhan konteks kenyataan tersebut sebelum menjatuhkan hukuman atau melontarkan kecaman melampau.
“Saya memahami mengapa ramai rakyat Sabah sensitif mengenai isu pelarian. Itu hak mereka. Ramai yang mempunyai kebimbangan tentang keselamatan, ekonomi, peluang pekerjaan dan masa depan negeri. Tetapi tidak semua perbezaan pandangan perlu berakhir dengan penghinaan,” katanya.
Menurut beliau, antara perkara yang kurang diberi perhatian oleh orang ramai ialah kenyataan Mufti Sabah sendiri yang turut menyebut bahawa golongan pelarian perlu mempunyai keinginan untuk berubah, menyesuaikan diri dengan masyarakat serta perlunya mekanisme penyelesaian yang lebih holistik.
“Ramai hanya melihat potongan video atau tajuk tertentu, kemudian terus membuat kesimpulan. Sedangkan dalam kenyataan lain, beliau juga menyebut tentang cabaran sosial, pendidikan, integrasi masyarakat dan keperluan penyelesaian yang lebih menyeluruh,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan, termasuk pandangan tokoh agama atau pemimpin. Namun perbezaan pendapat tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan kata-kata kesat, menghina, atau melabel seseorang dengan gelaran yang menjatuhkan maruah.
“Kita boleh kritik. Kita boleh bantah. Kita boleh berdebat. Tetapi apabila perbincangan berubah menjadi makian dan penghinaan, itu bukan lagi budaya ilmu. Itu hanya menunjukkan kemerosotan adab dalam masyarakat,” katanya.
Menurut Kefayatullah lagi, isu pelarian di Sabah sememangnya memerlukan perbincangan yang matang kerana ia melibatkan aspek kemanusiaan, keselamatan, dasar kerajaan, ekonomi dan kepentingan rakyat tempatan secara serentak.
“Isu ini terlalu besar untuk dibincangkan dengan emosi semata-mata. Jika ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan Mufti Sabah, jawab dengan fakta dan hujah. Jangan terus melabel seseorang sebagai bodoh atau pengkhianat hanya kerana kita tidak bersetuju dengan pandangannya,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa budaya menghukum berdasarkan potongan video pendek tanpa meneliti keseluruhan kenyataan semakin membimbangkan dan boleh membawa kepada salah faham yang lebih besar dalam masyarakat.
“Kita sedang berdepan zaman di mana beberapa saat klip video boleh mengubah persepsi ribuan orang. Sebab itu masyarakat perlu lebih berhati-hati sebelum membuat kesimpulan. Dengar keseluruhan kenyataan, fahami konteks, kemudian barulah menilai,” tegas beliau.
Dalam masa sama, beliau menggesa semua pihak agar terus membincangkan isu pelarian Sabah secara terbuka dan rasional, namun dalam suasana yang lebih beradab serta menghormati perbezaan pandangan.
“Sabah mempunyai realiti yang unik. Kita boleh berbeza pandangan tentang penyelesaian isu pelarian, tetapi jangan sampai kita kehilangan nilai hormat sesama manusia ketika membincangkannya,” katanya.
