Kota Kinabalu: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sabah yang kini sudah memiliki kira-kira 100,000 ahli akan dilancarkan 2 Mac ini.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pelancarannya disempurnakan Ketua Menteri, selaku presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, kira-kira 5,000 ahli parti itu dijangka hadir pada majlis berkenaan yang dijadual bermula jam 7 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
“Kita menjangkakan kehadiran kira-kira 5,000 orang dari seluruh Sabah. Ketika ini kita mempunyai hampir 100,000 ahli, majoritinya dari BERSATU selepas keluar dari parti sebelum ini.
“Kita menjangkakan ramai lagi permohonan bekas ahli BERSATU dan mereka yang belum ada parti serta berminat menyokong kepemimpinan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya pada majlis ramah mesra bersama media, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS secara rasmi menerajui Gagasan Rakyat pada mesyuarat agung khas parti itu awal bulan ini.
Gagasan Rakyat kini mempunyai seramai 25 ADUN, termasuk lima bekas ADUN UMNO dan empat bekas ADUN WARISAN yang mengumumkan keluar parti antara awal bulan ini hingga semalam.
-Deasoka