2 batalion baharu PGA diwujudkan di Sabah

2 batalion baharu PGA diwujudkan di Sabah

Kota Kinabalu: Dua batalion baharu Pasukan Gerakan Am (PGA) bakal diwujudkan bagi memperkukuh lagi kawalan keselamatan di negeri ini.

Dua batalion PGA itu masing-masing Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak.

Juhar menandatangani plak perasmian Kompleks IPK Sabah dengan disaksikan Acyrl (dua kanan), Hajiji (kanan) dan Saifuddin (kiri).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acyrl Sani Abdullah Sani berkata, penambahan itu sekali gus menjadikan tujuh batalion PGA akan beroperasi di Sabah, termasuk lima batalion sedia ada.

Katanya, lima batalion PGA sedia ada iaitu Batalion 14 Tawau, Batalion 15 Sandakan, Batalion 16 Kinarut, Batalion 17 Lahad Datu dan Batalion 20 Beluran.

“Dalam usaha memperkukuh serta memperketatkan lagi kawalan di sempadan negara, PDRM kini giat membangunkan satu lagi pos baharu PGA iaitu Pos Pangalungan Nabawan.

“Saya yakin dengan adanya penambahan pos dan batalion ini dapat mempertingkatkan lagi mutu kawalan keselamatan terutamanya di kawasan sempadan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) seterusnya menghalang jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.

Acyrl berkata, pihaknya mempunyai keyakinan tinggi bahawa Kontinjen Sabah mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.

“Pertingkatkanlah profesionalisme serta lipat gandakan usaha demi meletakkan PDRM di mercu kecemerlangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan bangunan IPK Sabah adalah sebahagian daripada pelan strategi keselamatan pasukan dalam memberikan kelangsungan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, khususnya rakyat di negeri ini.

“Projek pembangunan Pentadbiran Blok A dan Blok B IPK Sabah menggunakan kos sebanyak RM90.3 juta dan pembinaannya mula dilaksanakan pada 16 Julai 2007 sebelum siap sepenuhnya pada 16 Januari 2013.

“Kompleks beroperasi sepenuhnya pada 13 Julai 2013 yang turut dilengkapi dengan lokap berpusat, bengkel komunikasi, balai pengawal, 17 unit kuarters kelas C dan 60 unit kuarters kelas D.

“Diharapkan dengan prasarana yang serba lengkap dan selesa ini mampu menyuntik semangat warga PDRM Kontinjen Sabah untuk terus berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, usaha itu berikutan masyarakat adalah pemegang taruh terpenting pasukan dan PDRM sebagai agensi penguatkuasa utama negara bertanggungjawab memastikan keselamatan serta ketenteraman rakyat di Sabah sentiasa terpelihara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|