Op Tapis Khas: Tokan dadah antara 15 ditahan

Op Tapis Khas: Tokan dadah antara 15 ditahan

Tawau: Seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah dicekup bersama dadah jenis syabu di kawasan tempat pembuangan sampah, Bukit Gemok, di sini, semalam.

Tangkapan itu dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Op Tapis Khas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dikesan berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek bertindak agresif cuba melarikan diri ketika pasukan operasi memperkenalkan diri dan berlaku pergelutan, sebelum berjaya ditahan.

“Suspek menyerahkan sebuah beg yang dipegangnya ketika pasukan operasi menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh badannya.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemukan lapan plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 7.58 gram di dalam beg berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi yang sama, seramai 14 lelaki turut ditahan selepas disyaki penagih dadah di sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, semua tangkapan berusia 23 hingga 62 tahun itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Semua suspek bersama barang rampasan termasuk dadah jenis syabu dibawa ke BSJND IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah,” katanya.

Jasmin berkata, sebanyak enam serbuan di perkampungan, pembuangan sampah dan kawasan ‘hotspot’ penagih dadah dilakukan ketika operasi itu dijalankan.

“Kejayaan ini adalah salah satu usaha IPD Tawau dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Masyarakat di daerah ini perlu memberikan kerjasama dalam menangani jenayah supaya daerah Tawau kekal aman dan sejahtera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|