Perkhidmatan awam digesa bantu kerajaan majukan negeri, sejahterakan rakyat – Hajiji

Perkhidmatan awam digesa bantu kerajaan majukan negeri, sejahterakan rakyat – Hajiji

Kota Kinabalu: Anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan digesa untuk terus memberikan sokongan dan dokongan kepada Kerajaan Negeri dalam usaha gigih memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini adalah masa untuk berkerja keras, membangunkan semula ekonomi negeri dan memajukan rakyat.

“Percayalah, setiap daripada kita menginginkan kerajaan yang stabil; negeri dan negara yang makmur, supaya kita dapat hidup dengan aman dan sentosa.

“Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap segala usaha bagi membina semula ekonomi negeri dan membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Dalam mengorak langkah ke hadapan, Hajiji mengajak anggota perkhidmatan awam untuk melipat-gandakan lagi usaha serta khidmat bakti kepada negeri, rakyat dan masyarakat.

Tambahnya, dengan pertanggungjawaban, jati diri dan iltizam yang tinggi dalam memikul amanah dan tanggungjawab dalam memastikan negeri ditadbir dan diurus dengan cemerlang, manakala rakyat dibela dengan sebaik-baiknya.

“Sebagai jentera pelaksana dasar dan program pembangunan kerajaan, anggota perkhidmatan awam menjadi pemangkin bagi merealisasikan apa jua dasar dan perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Dalam konteks negeri Sabah, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 merupakan wadah untuk menempatkan semula Sabah pada landasan yang tepat ke arah kemajuan dan pembangunan yang holistik merangkumi kemakmuran ekonomi, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Jelasnya, pendekatan itu selari dengan aspirasi PM yang telah memperkenalkan gagasan besar Malaysia Madani, sebagai paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan pelaksanaan strategi yang merentas semua sektor termasuk kemanusiaan dan modal insan, ke arah mengangkat semula martabat negara di persada dunia.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Sabah adalah negeri terawal yang menyambut baik konsep Malaysia Madani dengan menganjurkan seminar, forum dan bengkel bagi mengupas dan mendalami konsep Malaysia Madani.

“Saya berharap agar seluruh anggota perkhidmatan awam sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk menghadapi perubahan dan cabaran, sesuai dengan perkembangan dan kehendak semasa.

“Jangan sekali-kali mudah selesa dengan pencapaian yang ada. Jadilah penjawat awam yang berdaya kreatif, bersikap proaktif serta memiliki semangat untuk berlumba dalam mencapai kejayaan secara sihat, berintegriti dan menjauhi rasuah.

“Kita tidak seharusnya mudah berasa selesa dengan pencapaian yang ada, kerana perjalanan kita masih jauh dan berliku. Justeru, kita perlu mempercepatkan langkah agar tindakan kita bukan sahaja pantas dan tangkas, tetapi juga tepat pada sasaran dalam memastikan kemajuan dan kejayaan.

“Lipat gandakan usaha, “work hard” dan “work smart”, bagi mengekalkan rekod kejayaan dan kecemerlangan kita dalam mengurus dan mentadbir negeri yang tercinta ini. Anggota perkhidmatan awam adalah jentera kerajaan yang juga bertanggungjawab dalam memastikan peningkatan hasil negeri.

“Jika hasil negeri dapat ditambah dan ditingkatkan, tentunya ia akan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat, termasuklah juga di kalangan penjawat awam itu sendiri yang akan menerima pelbagai insentif dan imbuhan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan berkat kerja keras semua pihak, pada tahun lalu Sabah telah berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM7 bilion, iaitu jauh melepasi angka yang disasarkan.

Manakala, katanya, nilai pelaburan mencecah RM33 bilion, melibatkan beberapa syarikat pelabur dari dalam dan luar negara dan ia juga kejayaan anggota perkhidmatan awam yang telah mempamerkan komitmen dan kerja keras yang membanggakan.

“Perlu diingat, bahawa kejayaan ini membuktikan sokongan dan keprihatinan PM terhadap tuntutan yang kita kemukakan berkaitan hak-hak Sabah seperti yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Anwar yang telah memperuntukkan RM6.5 bilion untuk pembangunan negeri Sabah dalam Belanjawan Persekutuan yang dibentangkan semula.

Katanya, sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, Sabah memerlukan peruntukan yang besar untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri yang masih jauh tertinggal.

“Peruntukan RM6.5 bilion itu sebenarnya tidak termasuk beberapa inisiatif lain, antaranya merangkumi pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah/Sarawak sebanyak RM20 bilion, dan RM1 bilion lagi untuk membangunkan kawasan sempadan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin Malaysia mampu bangkit kembali menjadi negara yang disegani dan dihormati dibawah pimpinan dinamik Anwar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|