Anwar serah kepada negeri putuskan Kerajaan Perpaduan

Anwar serah kepada negeri putuskan Kerajaan Perpaduan

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pemimpin negeri ini untuk berbincang dan memutuskan perkara berkaitan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, pada asasnya semua parti dijemput untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Sabah, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri berikutan apa yang berlaku sebelum ini.

“Kedudukan kita ialah kita jemput semua pihak. Tapi saya fikir berdasarkan apa yang dialami Sabah sebelum ini, saya menyerahkan kepada kebijaksanaan negeri untuk bincang dan putuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan, di sini, hari ini.

Anwar mengulas cadangan Kerajaan Perpaduan di Sabah sama ada wajar diteruskan atau tidak memandangkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini memiliki majoriti yang kukuh.

Terdahulu, dalam ucapan amanatnya kepada penjawat awam, Anwar berkata kerajaan Pusat memilih untuk memberi peluang kepada Hajiji terus memimpin negeri ini.

“Kebangkitan atau penurunan satu generasi tertakluk kepada sistem yang stabil dan pimpinan yang berwibawa dan sebab itu kami di Pusat memilih untuk mempetahankan dan menyampaikan pandangan rakan-rakan di Sabah beri peluang kepada Ketua Menteri untuk memimpin dan mengangkat martabat Sabah.

“Rupa-rupanya dalam gaya kelembutannya, silat politik dia hebat juga. Dalam masa singkat dia boleh memantapkan kerajaan Sabah menjadi stabil dan sekarang saya fikir tidak lagi berbangkit ketegangan politik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|