Sang bedal 900kg tersangkut pukat

Sang bedal 900kg tersangkut pukat

LAHAD DATU: Penduduk kampung digemparkan dengan penemuan seekor buaya tembaga yang dianggarkan seberat 900 kilogram selepas dipercayai tersangkut di pukat nelayan, baru-baru ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lahad Datu, Kapten (PA) Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk Kampung Sungai Nipah pada jam 9 pagi pada Rabu lalu.

“Sebaik menerima laporan, kita kemudiannya menjalankan operasi menangkap reptilia itu dengan kaedah menggunakan tali.

“Lebih tiga jam masa diambil untuk menangkap buaya tersebut memandangkan reptilia itu cuba bertindak agresif termasuklah melibaskan ekornya, “katanya.

Jelas beliau, buaya itu kemudian berjaya dibawa naik ke darat dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu.

Sementara itu, Pembantu Hidupan Liar JHL Lahad Datu, Sylvester Wong dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima buaya berkenaan daripada Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Desa Kencana.

Beliau berkata, reptilia yang ditangkap itu merupakan buaya jantan dewasa, bersaiz sepanjang 5.1 meter dan kini berada dalam jagaan pihaknya untuk tindakan lanjut.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|