Projek Perintis Taman Komuniti Hidroponik UCSF

Projek Perintis Taman Komuniti Hidroponik UCSF

KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) memulakan Projek Perintis Taman Komuniti Hidroponik pada 9 Mei lalu.

Dilancarkan oleh Naib Canselornya, Dr. Rafiq Idris, beliau dalam ucapannya berkata, pihaknya amat bangga dengan seramai 15 orang pelajar universiti itu yang telah memulakan projek tersebut.

Katanya, projek perintis itu bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang teknik penanaman hidroponik sebagai salah satu kemahiran yang penting kepada generasi muda.

Projek ini diketuai oleh Mohd Wa’ie Aqwa, salah seorang pelajar dalam Kursus Khidmat Masyarakat dengan seliaan Sharmimiee Hussain.

Menurut Mohd Wa’ie, beliau bercadang membina Taman Komuniti dalam skala yang lebih besar di masa hadapan.

“Ini kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh selain dapat mengurangkan kesan karbon, ianya turut mampu mengurangkan pergantungan kepada baja kimia seperti yang sering digunakan dalam pertanian industri berskala besar”, katanya.

Ketua Pusat Bahasa dan Pembangunan Generik UCSF, Noorashiqin Ahmad mengucapkan terima kasih kepada penaja projek itu, Viktor Organic Sdn.Bhd kerana menyokong usaha pelajar mewujudkan Taman Komuniti Hidroponik.

“Kami menyeru kepada institusi dan organisasi lain untuk mendekati dan bekerjasama dengan UCSF bersama-sama menjayakan projek komuniti ini”, katanya.

Para pelajar dan pensyarah UCSF bersama Dr Rafiq Idris merancang untuk membawadan diperluaskan projek itu kepada masyarakat luar terutamanya di negeri Sabah melalui CSR dan projek penyelidikan yang bakal dilaksanakan di bawah UCSF.

Majlis Pelancaran Taman Komuniti itu turut dihadiri oleh kakitangan dan pelajar UCSF, serta institusi lain yang berminat untuk mempelajarinya.

Pemberian benih sayur-sayuran turut dilakukan demi menarik minat mereka untuk bertani selepas mempelajari tentang teknik tanaman hidroponik.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|