Suspek kes bunuh pemandu e-hiling dituduh di mahkamah

Suspek kes bunuh pemandu e-hiling dituduh di mahkamah

Kota Kinabalu: Tujuh suspek termasuk enam pegawai, anggota polis akan dituduh di Mahkamah Majistret Tawau, petang ini atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, Tawau, 13 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berkaitan kes pembunuhan seorang lelaki warga tempatan pada 13 Januari lalu yang membabitkan penahanan lapan pegawai dan anggota PDRM serta tiga orang awan bagi membantu siasatan kes ini.

Katanya, kertas siasatan telah lengkap dan dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara pada 7 Februari 2023.

“Semua tangkapan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini.

“Suspek terdiri daripada enam pegawai dan anggota PDRM dan seorang awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak polis juga pada 30 Januari lalu telah menuduh seorang wanita (awam) yang juga isteri kepada mangsa atas kesalahan yang sama.

“Semua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Terdahulu, pada 16 Januari lalu, mayat seorang lelaki berusia 61 tahun ditemui di sebuah ladang sawit di Batu 5 Jalan Apas, Tawau, dipercayai mangsa bunuh.

Turut ditemui bersebelahan dengan mayat mangsa, kereta Perodua Myvi putih.

Susulan penemuan itu, polis mendedahkan penahanan beberapa individu termasuk lapan pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|