95 peratus inisiatif SMJ Kumpulan Yayasan Sabah sudah dilaksanakan

95 peratus inisiatif SMJ Kumpulan Yayasan Sabah sudah dilaksanakan

Kota Kinabalu: Sebanyak 95 peratus daripada 17 inisiatif Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah Kumpulan Yayasan Sabah berjaya dilaksanakan setakat ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata semua 17 inisiatif itu dilaksanakan pada 2022 yang membabitkan dua teras dalam SMJ iaitu modal insan dan kelestarian hijau.

Hajiji menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada Ketua Pegawai Eksekutif D’ Heritage Sdn Bhd (SICC), Datuk Rosmawati Lasuki, sempena Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah di SICC

“Prestasi ini amat membanggakan dan tahniah kepada semua warga Kumpulan Yayasan Sabah yang terlibat dengan pelaksanaan inisiatif ini. Sebagai jentera strategik kerajaan negeri, Kumpulan Yayasan Sabah perlu terus memacu pelbagai program sejajar dengan Hala Tuju SMJ. Namun, usaha tersebut masih belum sampai ke penghujungnya.

“Pembangunan modal insan perlu terus dipertingkatkan khususnya dalam aspek pendidikan. Saya mahu Kumpulan Yayasan Sabah terus memberi fokus kepada pendidikan dari peringkat kanak-kanak hinggalah ke pengajian tinggi.

“Saya berharap pelancaran Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) pada Jun tahun lalu dapat meringankan bebanan kewangan Kumpulan Yayasan Sabah dalam membiayai komitmen itu.

“Pada 2022 sebanyak RM28.5 juta dibelanjakan untuk memberi tajaan dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman kepada 2,823 orang pelajar baharu dan yang sedang belajar.

“Saya yakin dengan dana terkumpul TPNS akan dapat meringankan bebanan kewangan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya ketika merasmikan Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam tadi.

Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Jasnih Daya.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata beliau juga bangga kerana Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) mencatat kadar kebolehpasaran graduan hingga 98 peratus, manakala University College Sabah Foundation (UCSF) sebanyak 75 peratus pada 2022.

“Banyak bantuan atau inisiatif yang diberikan kerajaan bagi membangunkan agenda pendidikan di negeri ini. Inisiatif ini membuka sinar baharu kepada penduduk khususnya golongan B40 untuk memastikan anak mereka dapat pendidikan hingga ke peringkat universiti.

“Pemberian Biasiswa, Dermasiswa dan Bantuan Pelajar Negeri akan dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk memberi peluang kepada anak watan Sabah melanjutkan pengajian dan latihan ke peringkat lebih tinggi. Untuk tujuan itu, sebanyak RM57 juta diperuntukkan pada tahun ini.

“Dalam pada itu, usaha Yayasan Sabah yang komited melindungi khazanah yang terkandung di kawasan konservasi di bawah seliaan kumpulannya, perlu terus dipertingkatkan.

“Usaha ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa memastikan pelaksanaan pembangunan sosial dan ekonomi menjamin kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut meminta pihak pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah terus berusaha agar aktiviti perniagaan anak-anak syarikatnya akan terus menghasilkan keuntungan sekali gus dapat menggandakan pembayaran dividen kepada ICSB.

Katanya, hampir semua sektor yang diceburi kumpulan berkenaan mencatatkan pulangan yang lebih baik pada 2022 dengan keuntungan sebelum cukai dijangka melebihi RM412 juta.

“Tahniah kepada anak-anak syarikat berkaitan perladangan kelapa sawit dan penjanaan kuasa elektrik yang merupakan penyumbang utama kepada prestasi yang memberangsangkan ini.

“Pemulihan keuntungan oleh anak-anak syarikat di sektor pelancongan dan kayu balak turut memberi kesan kepada prestasi baik ini.

“Saya dimaklumkan berdasarkan pemantauan berterusan terhadap anak-anak syarikat pada 2022 telah menghasilkan rekod pembayaran dividen kepada ICSB berjumlah RM253.18 juta,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mahu pihak pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah terus memberi perhatian dalam perancangan masa hadapan mereka, antaranya memastikan kumpulan itu ditadbir secara efisien dari segi kos.

Katanya, usaha juga perlu dilakukan bagi mentranformasikan anak-anak syarikat yang rugi melalui usaha sama yang mana wang pelaburan disuntik rakan kerjasama dan mengewangkan (monetise) aset-aset Kumpulan Yayasan Sabah yang tidak diusahakan seperti tanah dan perhutanan.

Selain itu, beliau berkata Kumpulan Yayasan Sabah juga perlu menambah nilai dan pulangan atas anak-anak syarikatnya melalui penyenaraian di bursa saham, selain berkolaborasi dengan organisasi dari dalam dan luar negara yang mempunyai kepentingan bersama; pemantauan berterusan anak-anak syarikat untuk memastikan prestasi yang baik agar pembayaran dividen yang maksimum dapat dilakukan.

Jelasnya, tumpuan juga diberikan terhadap pelaksanaan Projek Pembangunan Pavillion Harbour City, Jesselton Waterfront Sdn Bhd dan Lok Kawi Resort City; memastikan hasil tunai (cash entitlements) dari projek pembangunan bersama dapat diterima dengan secepat mungkin dan melaksanakan beberapa projek pembangunan hidroelektrik baharu di kawasan yang dikenal pasti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|